Friday, June 29, 2012

TAWARAN


Shafiq membungkam di hujung katil. Mukanya  kelat tidak terkira. Puas hatinya dapat menghempaskan  pintu bilik sekuat hati menzahirkan perasaannya yang memberontak tidak setuju!  Kata-kata yang baru didengarinya tadi amat menyesakkan jiwa. Geram, marah, sedih dan kecewa semuanya bercampur baur bagai menghiris-hiris pedih ulu hatinya.

Kenapa baru sekarang ? Sedangkan selama ini dia begitu bebas untuk melakukannya tidak kira masa asal saja bukan lewat malam. Shafiq betul-betul kecewa. Biar dihalang untuk perkara lain tapi tolonglah bukan yang satu ini! Kebahagiaanya bagai direntap tanpa belas.

Perasaan kecewa yang bersilih ganti itu akhirnya menyebabkan matanya mula berkaca. Mukanya terasa panas dan dia yakin kulit mukanya sudahpun bertukar warna. Daun pintu yang baru dihempas sekuat hatinya tadi ditenung tajam seolah pandangan matanya boleh bolos melihat susuk di luar sana. Dadanya berombak kencang menahan perasaan sebal yang tidak terperi itu sambil cuba menahan air mata lelakinya agar tidak gugur. Kedua tangannya digenggam geram.

Dalam geram otaknya tetap berfikir ligat cuba mencari jalan. Dia perlu mencari jalan untuk mendapatkan kembali  ‘kebahagiaan’nya itu. Ya.. dia harus mencari jalan !

*****************************************************************************

Petang  ini dirasakan berlalu begitu panjang.  Lebih panjang dari kelaziman. Hari ini Shafiq sanggup melupakan ‘temujanji’nya di taman seberang jalan biarpun dari jauh di nampak kelibat rakan-rakan nya bagai berpesta keriangan. Biarlah hari ini temujanji itu dibatalkan yang penting segalanya harus diputuskan hari ini. Dia tidak mahu kekecewaan ini berterusan. Dia perlu melakukan sesuatu demi mendapatkan kembali haknya. Ya, hak dan kebahagiaannya !

Tidak lama kedengaran deruman enjin VVTi 2.4 liter buatan negara matahari terbit itu berlabuh di garaj kereta. Shafiq tidak sabar lagi untuk bertemu dengan pemilik kereta itu. Biar segalanya terlerai hari ini. Dia perlu membuat tawaran. Sehari suntuk dia memerah otak memikirkan tawaran terbaik untuk menambat hati lelaki itu. Dia sudah memikirkannya masak-masak. Dia begitu yakin pemilik kenderaan itu akan bersetuju dan dia pasti akan dapat mengembalikan semula hak dan kebahagiaannya.

“Ayah, jika Shafiq berjaya menyiapkan semua latihan dan kerja rumah di sekolah Shafiq boleh bermain game di rumah. Tapi jika Shafiq tak siap kerja sekolah, Shafiq tidak boleh dan tidak akan minta pun untuk bermain game di komputer itu. Itu rule Shafiq. Bolehkan Ayah ? ”

Ujar Shafiq penuh mengharap sejurus wajah ayahnya tersembul di muka pintu.