Shafiq membungkam di hujung katil. Mukanya kelat tidak terkira. Puas hatinya dapat
menghempaskan pintu bilik sekuat hati menzahirkan perasaannya yang memberontak tidak
setuju! Kata-kata yang baru didengarinya
tadi amat menyesakkan jiwa. Geram, marah, sedih dan kecewa semuanya bercampur
baur bagai menghiris-hiris pedih ulu hatinya.
Kenapa baru sekarang ? Sedangkan selama ini dia begitu bebas
untuk melakukannya tidak kira masa asal saja bukan lewat malam. Shafiq
betul-betul kecewa. Biar dihalang untuk perkara lain tapi tolonglah bukan yang
satu ini! Kebahagiaanya bagai direntap tanpa belas.
Perasaan kecewa yang bersilih ganti itu akhirnya menyebabkan
matanya mula berkaca. Mukanya terasa panas dan dia yakin kulit mukanya sudahpun bertukar warna. Daun pintu yang baru dihempas sekuat hatinya tadi
ditenung tajam seolah pandangan matanya boleh bolos melihat susuk di luar sana.
Dadanya berombak kencang menahan perasaan sebal yang tidak terperi itu
sambil cuba menahan air mata lelakinya agar tidak gugur. Kedua tangannya
digenggam geram.
Dalam geram otaknya tetap berfikir ligat cuba mencari jalan.
Dia perlu mencari jalan untuk mendapatkan kembali ‘kebahagiaan’nya itu. Ya.. dia harus mencari
jalan !
*****************************************************************************
Petang ini dirasakan berlalu
begitu panjang. Lebih panjang dari
kelaziman. Hari ini Shafiq sanggup melupakan ‘temujanji’nya di taman seberang
jalan biarpun dari jauh di nampak kelibat rakan-rakan nya bagai berpesta keriangan. Biarlah hari ini temujanji itu dibatalkan yang penting segalanya harus
diputuskan hari ini. Dia tidak mahu kekecewaan ini berterusan. Dia perlu
melakukan sesuatu demi mendapatkan kembali haknya. Ya, hak dan kebahagiaannya !
Tidak lama kedengaran deruman enjin VVTi 2.4 liter buatan negara
matahari terbit itu berlabuh di garaj kereta. Shafiq tidak sabar lagi untuk
bertemu dengan pemilik kereta itu. Biar segalanya terlerai hari ini. Dia perlu
membuat tawaran. Sehari suntuk dia memerah otak memikirkan tawaran terbaik
untuk menambat hati lelaki itu. Dia sudah memikirkannya masak-masak. Dia begitu
yakin pemilik kenderaan itu akan bersetuju dan dia pasti akan dapat
mengembalikan semula hak dan kebahagiaannya.
“Ayah, jika Shafiq berjaya menyiapkan semua latihan dan kerja
rumah di sekolah Shafiq boleh bermain game
di rumah. Tapi jika Shafiq tak siap kerja sekolah, Shafiq tidak boleh dan tidak akan minta pun untuk bermain game di komputer itu. Itu rule Shafiq. Bolehkan Ayah ? ”
Ujar Shafiq penuh mengharap sejurus wajah ayahnya tersembul
di muka pintu.